Penyandang Kursi

Penyandang Kursi


Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman – PSM, PJN, DSDK, SDK, AMN

Bagi sesi 2015-2016, JK Kerja Kursi telah mencadangkan Y.Bhg. Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dilantik sebagai Penyandang Kursi Syariah dan Undang-Undang yang pertama. Cadangan ini telah dipersetujui dan diluluskan diperingkat Universiti di dalam satu mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, bersama-sama dengan wakil Lembaga Pengarah Universiti, yang telah dijalankan pada Mac 2015.

Perlantikan Y.Bhg Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Khas selama 1 tahun, dibuat berdasarkan kepada pengalaman beliau yang luas di dalam bidang Syariah dan Undang-Undang, selain daripada sumbangan yang telah beliau berikan kepada Universiti dan Fakulti di dalam pelbagai aspek termasuk aspek penyelidikan.

Sheikh Ghazali Bin Abdul Rahman kelahiran Kampung Kepala Bukit, Tobiar, Pendang, Kedah pada 31 Disember 1938. Anak kelima di dalam keluarga Dato Abdul Rahman, seorang guru agama yang dihormati di Alor Setar.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tobiar , Pendang dari 1946 hingga 1951 dan sekolah menengah di Maktab Mahmud Alor Star dari 1951 hingga 1961.

Dengan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh serta rajin menimba ilmu , beliau berjaya meneruskan pengajian di Universiti Al – Azhar , Kaherah di mana beliau lulus dengan ijazah sarjana dalam undang-undang Islam . Kemudian, beliau memperolehi Diploma Perguruan dari Universiti Ain Syam, Kaherah, Egypt . Selain daripada itu, beliau juga memperoleh Diploma dalam Undang-undang Pentadbiran dari Universiti Islam Antarabangsa , dan dia dan rakan-rakannya adalah kumpulan pertama yang menerima diploma tersebut.

Tan Sri Sheikh Ghazali merupakan mantan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Tan Sri Sheikh Ghazali menyandang beberapa jawatan penting, di antaranya ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Ahli Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara (Bekas Pengerusi), Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (Bekas Pengerusi); Ahli Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri di Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kelantan; dan bekas Ahli Majlis Syariah, Accounting and Auditing Organisation Islamic Financial Institution (AAOIFI) yang beribu pejabat di Bahrain.