INFO KURSI

PENGENALAN

Kursi Syariah dan Undang-Undang merupakan satu inisiatif Universiti Sains Islam Malaysia meningkatkan kepakaran akademik universiti di dalam pelbagai aspek berkaitan Syariah dan Undang-Undang, termasuklah penyelidikan, penerbitan, seminar, kolokium dan aktiviti kemasyarakatan, bagi menjayakan visi dan misi dan objektif Universiti. Di samping memberi tumpuan kepada penyelidikan ia juga dapat meningkatkan jalinan hubungan industri, kualiti kurikulum dan pengajaran & pembelajaran di fakulti.

Kursi Syariah dan Undang-Undang adalah amat penting dalam berperanan memartabatkan bidang Syariah dan Undang-undang. Permasalahan dan isu Syariah dan Undang-undang sivil sering dibicarakan secara berasingan menyebabkan perlaksanaan Syariah dan perundangan tidak menyeluruh. Sebagai contoh, isu perundangan dalam bidang kekeluargaan, perbankan dan kewangan sering menjadi konflik antara bidang kuasa mahkamah Syariah dan mahkamah sivil. Justeru, Kursi yang ditubuhkan ini diharapkan mampu menjadikan Negeri Sembilan sebagai hub utama dan platform untuk mengharmonikan antara bidang Syariah dan Undang-undang.


Sejarah

Kursi Syariah dan Undang-Undang telah ditubuhkan secara rasmi pada November 2015 dan operasi Kursi Syariah dan Undang-Undang telah bermula dengan rasminya pada Januari 2016 setelah Jawatankuasa Kerja Kursi di peringkat Fakulti ditubuhkan.

Perancangan penubuhan Kursi telah bermula seawal 2013 di mana kertas kerja penubuhan Kursi tersebut telah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Fakulti (MPF) dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) pada Oktober 2013.

Sesi Pertama Kajian Kursi syariah dan undang-Undang adalah memfokuskan kepada pelaksanaan undang-undang tanah adat di Negeri Sembilan menurut syariah dan undang-undang secara terperinci dan hasil daripada kajian kursi syariah dan undang-undang akan menjadi satu titik tolak pemangkin kepada tanah adat negeri sembilan pada masa akan datang.

Objektif

  • 1 – Sebagai platform untuk aktiviti penyelidikan yang berkaitan dengan teras utama dan keperluan di Negeri Sembilan dan Malaysia secara umum.
  • 2 – Memperkasakan sistem perundangan Syariah dan sivil di Negara, terutama dalam proses harmonisasi antara bidang undang-undang dan Syariah.
  • 3 – Mempertingkatkan kerjasama antara ahli akademik dengan badan dan individu profesional daripada sektor guaman dan perundangan

Penyandang Kursi FSU

Bagi sesi 2015-2016, JK Kerja Kursi telah mencadangkan Y.Bhg. Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dilantik sebagai Penyandang Kursi Syariah dan Undang-Undang yang pertama. Cadangan ini telah dipersetujui dan diluluskan diperingkat Universiti di dalam satu mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, bersama-sama dengan wakil Lembaga Pengarah Universiti, yang telah dijalankan pada Mac 2015.
Perlantikan Y.Bhg Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Khas selama 1 tahun, dibuat berdasarkan kepada pengalaman beliau yang luas di dalam bidang Syariah dan Undang-Undang, selain daripada sumbangan yang telah beliau berikan kepada Universiti dan Fakulti di dalam pelbagai aspek termasuk aspek penyelidikan.

Biodata

Y.Bhg Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman - PSM, PJN, DSDK, SDK, AMN

Sheikh Ghazali Bin Abdul Rahman kelahiran Kampung Kepala Bukit, Tobiar, Pendang, Kedah pada 31 Disember 1938. Anak kelima di dalam keluarga Dato Abdul Rahman, seorang guru agama yang dihormati di Alor Setar.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tobiar , Pendang dari 1946 hingga 1951 dan sekolah menengah di Maktab Mahmud Alor Star dari 1951 hingga 1961.

Dengan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh serta rajin menimba ilmu , beliau berjaya meneruskan pengajian di Universiti Al – Azhar , Kaherah di mana beliau lulus dengan ijazah sarjana dalam undang-undang Islam . Kemudian, beliau memperolehi Diploma Perguruan dari Universiti Ain Syam, Kaherah, Egypt . Selain daripada itu, beliau juga memperoleh Diploma dalam Undang-undang Pentadbiran dari Universiti Islam Antarabangsa , dan dia dan rakan-rakannya adalah kumpulan pertama yang menerima diploma tersebut.

Tan Sri Sheikh Ghazali merupakan mantan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Tan Sri Sheikh Ghazali menyandang beberapa jawatan penting, di antaranya ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Ahli Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara (Bekas Pengerusi), Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (Bekas Pengerusi); Ahli Panel Mahkamah Rayuan Syariah Negeri di Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kelantan; dan bekas Ahli Majlis Syariah, Accounting and Auditing Organisation Islamic Financial Institution (AAOIFI) yang beribu pejabat di Bahrain.

TAN SRI SHEIKH GHAZALI ABDUL RAHMAN
PSM, PJN, DSDK, SDK, AMN