Aluan Naib Canselor

Aluan

Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t yang telah memudahkan urusan dan perjalanan Kursi Syariah dan Undang-Undang. Selawat dan salam atas junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Jutaan terima yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Mohamad Hj Hassan, Menteri Besar, Negeri Sembilan Darul Khusus, yang juga adalah Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, di atas sokongan dan sumbangan beliau yang tidak putus kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di dalam pelbagai aspek termasuklah di dalam penubuhan Kursi Syariah dan Undang-Undang di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM.

Tanah Adat telah dipilih menjadi tema utama penyelidikan dan aktiviti Kursi pada kali ini memandangkan kepada isu dan polemik yang timbul di dalam persepsi dan pengamalan tanah adat. Dari sudut penyelidikan, 5 aspek utama, iaitu sosial, kepatuhan Syariah, undang-undang, pembangunan dan perbandingan serantau telah dilihat di dalam 5 kajian berasingan yang telah dijalankan.

Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman juga telah dilantik sebagai penyandang Kursi yang pertama, berdasarkan kepada pengalaman beliau yang luas di dalam bidang perundangan Syariah termasuklah yang berkaitan dengan tanah dan pewarisan.

Fasa satu ini adalah fasa eksplorasi kepada aspek-aspek berkaitan tanah adat. Banyak perkara yang telah dicapai oleh Fakulti di bawah Kursi Syariah dan Undang-Undang ini. Begitu juga banyak perkara yang boleh ditonjolkan oleh pihak Kerajaan Negeri Sembilan melalui penyelidikan berkaitan tanah adat ini yang telah dirancang untuk dilaksanakan pada Fasa kedua dan seterusnya nanti.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar Negeri Sembilan, pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan melalui Setiausaha Majlis Y.Bhg. Tn Hj. Kamal Amran Kamarudin dan semua yang terlibat memberikan sumbangan dan sokongan kepada kejayaan dan kemajuan Kursi Syariah dan Undang-Undang.

Salam Hormat.

PROFESOR DATO’ DR. MUSA AHMAD Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia